Sabtu, 30 Julai 2016 | 6:15pm

Dua lelaki ditahan selepas rempuh kenderaan

JOHOR BAHRU: Dua lelaki ditahan selepas kereta yang dicuri merempuh enam kenderaan termasuk kereta peronda polis ketika cuba melarikan diri di Jalan Kempas Baru, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu ditahan pasukan polis selepas bergelut ketika cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata suspek pada mulanya melarikan sebuah PROTON Iswara di stesen minyak di Taman Impian Emas, dekat sini.

Sejurus mendapat maklumat kes curi kenderaan, katanya, dua anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang menjalankan rondaan jenayah di kawasan terbabit bergegas ke lokasi kejadian.

"Kira-kira jam 6.10 petang, pasukan MPV mengesan suspek di Jalan Kempas-Selong tetapi mereka memecut sehingga ke Setia Tropika sebelum anggota MPV mendapatkan bantuan enam lagi MPV.

"Selepas hampir 10 minit mengejar kereta terbabit, suspek terpaksa memberhentikan kenderaan apabila melanggar sebuah MPV polis, empat kereta dan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Jalan Permatang Kempas, dekat sini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, kedua-dua suspek cedera ringan di tangan dan kaki selepas bergelut dengan anggota polis ketika cuba melarikan diri.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Dalam kes berasingan, Mohd Taib berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 24 tahun selepas disyaki mengedar dadah jenis ganja.

Katanya, mereka ditahan ketika polis menjalankan siasatan mengenai kes kecurian kereta di Jalan Sentosa, Kampung Seri Aman, dekat sini, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

"Mulanya polis menahan dua motosikal dinaiki tiga lelaki sebelum menemui ganja seberat 359.48 gram dalam beg galas seorang daripada suspek terbabit.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif penggunaan dadah jenis ganja," katanya.

Mohd Taib berkata, semua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983 dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Berita Harian X