Selasa, 26 Julai 2016 | 11:10am

Pengarah ICU Pulau Pinang dituduh rasuah

GEORGETOWN: Seorang pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai kerajaan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM50,818.50 pada tahun 2013.

Tertuduh, Mohd Nor Rejab, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

MOHD Nor Rejab (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai pegawai kerajaan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM50,818.50 pada tahun 2013. - Foto Danial Saad
MOHD Nor Rejab (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai pegawai kerajaan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM50,818.50 pada tahun 2013. - Foto Danial Saad

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nor yang ketika melakukan kesalahan bertugas sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan iaitu dengan memperakukan baucer bayaran bertarikh 17 Oktober 2013 bagi pembayaran membekalkan Lab Coat untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang turut mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pertengahan tahun 2013 di pejabat Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nor didakwa bersetuju menerima wang berjumlah RM24,656 melalu cek Maybank daripada Syed Mohamed Mohamed Farook, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya, di Maybank Cawangan Jalan Penang Road, pada 24 Oktober 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Nor diwakili peguam A Ashok dan Abdul Fareed Gafoor, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

Irwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X