Khamis, 14 Julai 2016 | 2:37pm

Penganggur pecah rumah kena jel dua tahun

AYER KEROH: Seorang penganggur dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan pecah rumah dan mencuri barang membabitkan kerugian RM3,000 di Bukit Baru, pertengahan Mac lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Saad, 25, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah milik Al Maududi Hisbullah Sarif, 28, di Paya Ikan, Bukit Baru, di sini, jam 3 pagi pada 16 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Selepas mendengar rayuan dan permohonan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus menetapkan hukuman dua tahun penjara bermula tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh.

Berita Harian X