Jumaat, 24 Jun 2016 | 10:57am

22 mangsa bot karam selamat

 Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Maritim Kota Kinabalu mengenai sebuah bot pelancong rosak dan dimasukki air di perairan Kota Belud. - Foto Mohd Adam Arinin
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Maritim Kota Kinabalu mengenai sebuah bot pelancong rosak dan dimasukki air di perairan Kota Belud. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Semua 22 mangsa bot karam termasuk 12 pelancong China di perairan dekat Pulau Mantanani malam tadi, ditemui selamat berhampiran perairan Tanjung Dudar, Kota Belud, jam 7 pagi tadi.

Mereka ditemui terapung oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dan dibawa ke jeti Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, sebelum dirujuk ke Hospital Kota Belud bagi pemeriksaan susulan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som, berkata mangsa merangkumi lapan perempuan dan 14 lelaki.

Selain pelancong China, katanya, mangsa lain ialah dua kru bot, pemandu pelancong (empat), manakala empat lagi ialah penduduk kampung yang menumpang bot terbabit.

"Bot berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Mantanani ke Kampung Kuala Abai di Kota Belud tetapi mengalami kerosakan dan bocor, menyebabkannya karam.

"Mulanya kru yang dapat berkomunikasi memaklumkan ada 24 orang dalam bot, namun apabila pihak PPM menemui mereka pagi tadi hanya ada 22 mangsa.

"Pemeriksaan lanjut mengesahkan ada 22 mangsa dan keadaan mereka dilaporkan baik. Mereka dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan susulan," katanya di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Panglima Wilayah Laut Dua, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Khairul Anuar Yahya.

Mohd Zubil berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bot berkenaan membawa muatan berlebihan, selain berdepan cuaca buruk dengan ombak setinggi antara 2.5 hingga 3.5 meter dan angin kencang mencecah 50 kilometer sejam.

Berita Harian X