Jumaat, 24 Jun 2016 | 8:37am

Operasi SAR kesan 24 orang terdampar di tengah laut

KOTA BELUD: Seramai 24 orang termasuk 12 pelancong China dilaporkan terdampar di tengah laut di perairan berhampiran Pulau Mantanani dekat sini selepas bot dinaiki bocor, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, APMM menerima panggilan daripada talian 999 memaklumkan sebuah bot dari Pulau Mantanani ke Jeti Kuala Abai dikesan mengalami kebocoran.

Selain 12 pelancong China, 12 lagi penumpang masing-masing enam kru dan enam pekerja pusat peranginan.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, ketika dihubungi sebentar tadi berkata, pihaknya terputus hubungan bersama kapten bot itu pada jam 11 malam tadi.

"Setakat jam 11 malam tadi, semua penumpang masih bersama dan berpaut pada bot mereka yang hampir tenggelam dan semua dipercayai selamat.

"Kami menasihatkan mereka memakai jaket keselamatan dan mengikat tali antara satu sama lain supaya tidak terpisah.

"Bagaimanapun, selepas terputus hubungan, kita tidak mengetahui keadaan mereka dan operasi SAR giat dilakukan tanpa henti sejak laporan diterima," katanya.

Beliau berkata, operasi membabitkan sebuah helikopter APMM, kapal terbang polis, tiga kapal laut dan dua bot.

"Pencarian kini menghala ke arah barat daya Rampayan di Kota Belud," katanya.

Berita Harian X