Ahad, 19 Jun 2016 | 1:10pm

Geng Metro terbabit curi kereta RM1j tumpas

KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd (dua dari kiri) diiringi Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said (kanan) melihat kereta curi yang berjaya ditemui semula dalam Ops Lejang Khas ketika sidang media di IPD Kulai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KULAI: Polis menumpaskan satu sindiket curi kereta pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1 juta, dikenali sebagai Geng Metro dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata ini berikutan penahanan tujuh ahli kumpulan itu dalam serbuan bermula jam 12 tengah hari.

Katanya, enam kereta yang ditemui ialah Toyota Estima, dua Toyota Wish, Nissan Sylphy, Mitsubishi Colt dan Toyota Altis selain beberapa alat dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan curi kereta.

"Dengan tangkapan ini, kita percaya dapat menyelesaikan 10 kes kereta curi yang dilaporkan di negeri ini dan didalangi kumpulan berkenaan.

"Siasatan awal turut mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak tiga bulan lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X