Jumaat, 17 Jun 2016 | 3:09pm

Polis sedang kesan warga Myanmar disyaki bunuh isteri

RUMAH mangsa yang dipercayai tempat kejadian mangsa dibunuh di Taman Ros, Mantin. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
RUMAH mangsa yang dipercayai tempat kejadian mangsa dibunuh di Taman Ros, Mantin. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

NILAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh isterinya, seorang warga Indonesia di Taman Ros, Mantin di sini, semalam.

Mangsa ditemui dengan tujuh kesan tetakan di kepala, muka, bahu dan badan mangsa.

Mohd Rafik Mohd Shukur, 48, bekerja sebagai pembantu stesen minyak di Mantin di sini, yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Orang Pelarian (UNHCR), menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata lelaki itu dipercayai menetak isterinya dengan pisau pemotong daging berdasarkan penemuan senjata berhampiran mangsa.

Katanya, polis menerima maklumat daripada jiran pasangan berkenaan pada jam 11.15 pagi yang memberitahu seorang wanita terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

"Siasatan di lokasi turut menemui anak perempuan mangsa berusia empat tahun di sebuah bilik dalam keadaan selamat, tetapi trauma," katanya pada sidang media di Balai Polis Nilai di sini, hari ini.

Zaldino meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Jamaludin di talian 013-2935122 atau 06-7991222 bagi membantu siasatan.

Berita Harian X