Ahad, 5 Jun 2016 | 10:01pm

5 nelayan disyaki salahguna dadah ditahan

BOT Siput yang dinaiki lima nelayan yang disyaki menyalahgunakan dadah ditahan APMM kira-kira 0.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah. - Foto APMM
BOT Siput yang dinaiki lima nelayan yang disyaki menyalahgunakan dadah ditahan APMM kira-kira 0.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah. - Foto APMM

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan berikutan disyaki menyalahgunakan dadah ketika mereka menangkap ikan menggunakan bot siput di kawasan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah, dekat sini, pagi tadi.

Semua nelayan yang ditahan adalah warga tempatan yang berusia 26 hingga 43 tahun dan sedang khayal ketika pemeriksaan dilakukan anggota APMM ke atas mereka.

Terdahulu, bot APMM mula mengesyaki bot siput yang berada dalam keadaan mencurigakan itu ketika melakukan rondaan pada jam 11.25 pagi di sekitar perairan Kuala Kedah, dekat sini.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor, berkata pemeriksaan lanjut di bot berkenaan kemudiannya menemui lima tiub dadah disyaki jenis syabu dan heroin masing-masing seberat 0.1 gram.

"Ketika pemeriksaan dijalankan semua nelayan itu berada dalam keadaan khayal malah ujian awal saringan air kencing turut mendapati mereka positif dadah.

"Semua nelayan itu dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan, " katanya, di sini tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X