Rabu, 1 Jun 2016 | 9:38pm

Nenek rugi RM3,000 disamun

ALOR SETAR: Seorang nenek kepada dua cucu mengalami detik cemas apabila disamun sekumpulan penjenayah yang bersenjatakan pisau pemotong daging di Taman Gunung Bongsu, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa, Fatimah Tel, 70, mengalami kerugian sebanyak RM3,000 apabila rantai leher emasnya dilarikan ketika sedang menyapu sampah di bahagian dapur rumahnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek bertopi keledar meluru masuk ke dapur sebelum menutup pintu manakala dua cucu berusia berusia lima dan tujuh tahun sedang bermain ruang tamu.

"Salah seorang suspek meletakkan pisau pemotong daging di leher saya sebelum merentap rantai emas yang dipakai tanpa menyedari anak perempuan saya berada dalam bilik.

"Ketika suspek mahu mengeledah, anak perempuan saya yang terkejut menjerit meminta tolong sebelum ketiga-tiga suspek terkejut dan terus melarikan diri menggunakan dua motosikal yang berada di tepi rumah," katanya yang ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X