Isnin, 30 Mei 2016 | 8:34pm

Kanak-kanak lemas dalam kolam mandi hotel

KANAK-kanak asyik bermain di kolam renang sebuah hotel di Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria
KANAK-kanak asyik bermain di kolam renang sebuah hotel di Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di dasar kolam mandi dewasa sebuah hotel di Batu 9, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Mohamad Ashrad Hakim, dari Tanjung Malim, Perak, dipercayai masuk ke kolam itu tanpa pengetahuan ahli keluarga lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Zainudin Ahmad, berkata kanak-kanak itu tiba di daerah ini bersama lima keluarga lain sejak semalam.

Katanya, pada mulanya kanak-kanak itu dilihat mandi bersama beberapa sepupunya di kolam kanak-kanak, manakala bapanya mandi di kolam dewasa.

"Bagaimanapun, bapanya kemudian menyedari anaknya hilang, menyebabkan mereka sekeluarga mencari di sekitar kawasan kolam sebelum menemui mayat kanak-kanak malang itu di dasar kolam dewasa," katanya ketika ditemui di Hospital Port Dickson (HPD) di sini, petang tadi.

Zainudin berkata, kanak-kanak itu dikejarkan ke HPD dengan bantuan pihak hotel tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Berita Harian X