Selasa, 24 Mei 2016 | 8:38pm

Wanita ditemui mati dalam bilik sewa

KETUA Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim. - Foto Shamsudin Husin
KETUA Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Seorang wanita ditemui mati di dalam bilik sewanya di Jalan Datuk, dekat sini, pagi tadi.

Mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pencuci di Hospital Kemaman ditemui tidak sedarkan diri oleh seorang rakannya, kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebelum kejadian, rakan mangsa cuba mengejutkannya untuk pergi ke tempat kerja.

Katanya, selepas beberapa kali memanggilnya, mangsa tidak menyahut menyebabkan rakannya berasa curiga.

"Curiga dengan keadaan itu rakan mangsa membuka pintu bilik dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring di dalam bilik," katanya.

Mohd Said berkata, pegawai perubatan yang pergi ke rumahnya kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Jenazah mangsa dibawa Ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan pihak polis masih menunggu laporan penuh bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Berita Harian X