Sabtu, 30 April 2016 | 4:57pm
PENGARAH Perikanan Negeri, Mohd Zain Saad bersama pegawainya memeriksa awak-awak nelayan asing yang ditahan di Kuala Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Rokaid Chik
PENGARAH Perikanan Negeri, Mohd Zain Saad bersama pegawainya memeriksa awak-awak nelayan asing yang ditahan di Kuala Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Rokaid Chik

12 bot nelayan pukat tunda ditahan

SEBAHAGIAN daripada 12 bot pukat tunda yang ditahan di Kuala Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Rokaid Chik
SEBAHAGIAN daripada 12 bot pukat tunda yang ditahan di Kuala Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Rokaid Chik

PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Kelantan menahan 12 bot pukat tunda, termasuk sebuah bot pukat jerut bersama 150 awak-awak serta tekong di Kuala Tok Bali, di sini, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri, Mohd Zain Saad, berkata kesemua bot dan nelayan terbabit ditahan dalam 'Operasi Periksa' lesen bot dan ukuran keroncong pukat yang bermula jam 7 pagi hingga 12 malam.

Beliau berkata, bot terbabit yang menggunakan awak-awak nelayan asing didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan saiz mata pukat keroncong yang tidak dibenarkan.

Katanya, mengikut akta berkenaan pemilik dan bot yang gagal mematuhinya boleh menyebabkan lesen bot dan alat penangkapan ikan digantung atau dibatalkan selaras dengan Akta Perikanan 1985.

"Bot pukat jerut ditahan kerana membawa minyak diesel sebanyak 5,400 liter iaitu melebihi keperluan yang dibenarkan undang-undang.

"Bot terbabit dan bahan api itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, operasi diketuai Ketua Pangkalan Utama Jabatan Perikanan Kelantan, Suhaimi Ali, turut menyita keroncong pukat yang berukuran 12 milimeter.

Berita Harian X