Selasa, 19 April 2016 | 3:17pm

Mengaku cabul, lelaki dipenjara 8 bulan

AYER KEROH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah rumah di Bukit Baru, Oktober tahun lalu.

Nur Arif Hamzan, 21, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan meraba kemaluannya dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh ketika mangsa tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Paya Ikan, Bukit Baru, di sini, pada jam 9 pagi, 19 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana menyesal atas tindakan dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan membabitkan maruah mangsa serta keluarga.

Selepas mendengar permohonan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Oktober 2015.

Berita Harian X