KUALA PILAH: Seorang wanita patah paha kiri apabila kereta dinaiki bersama anak perempuan dan suaminya, terbalik di Kilometer 16 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, malam tadi.
Dalam kejadian berdekatan Taman Anggerik, kira-kira jam 11.30 malam itu, anak perempuannya yang berusia lima tahun dan suami, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan dari Segamat, Johor, ke sini.
Suami mangsa, Aziz Abd Kadir, 50, berkata kereta dipandunya hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di tempat kejadian.
Katanya, kereta berpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang elektrik dan kemudian melanggar sebatang pokok lalu terbalik.
"Dalam keadaan terkejut dan gelap, saya mengeluarkan isteri serta anak melalui pintu belakang kereta. Syukur kerana kami selamat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, wanita yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, untuk rawatan.
Beliau turut menasihat pemandu kenderaan supaya sentiasa berhati-hati, terutama ketika atau selepas hujan untuk mengelakkan terbabit dalam kemalangan.