Ahad, 10 April 2016 | 3:50pm

3 maut, 2 parah nahas Jalan JB-Kota Tinggi

JOHOR BAHRU: Tiga maut, manakala dua parah selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Chen Lee Yin, 21, Leong Den Shen, 22, dan Tien Kiong Wei, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata dua lagi mangsa yang parah dikenali sebagai Teoh Sin Yee, 22, dan pemandu kereta terbabit, Joseph Ling Zuin Ren, 22.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta itu yang dalam perjalanan dari bandar raya menuju ke Kota Tinggi, dekat sini, terbabas setiba di lokasi kejadian.

"Kereta berkenaan kemudian merempuh tangga jejantas pejalan kaki di kiri jalan. Akibat rempuhan itu, kenderaan dinaiki lima orang itu terbalik dan ketiga-tiga mangsa yang maut terperangkap dalam kereta," katanya.

Mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini.

Berita Harian X