Jumaat, 8 April 2016 | 4:03pm

Bot kargo asing bersama 16 kru ditahan

BOT kargo asing yang ditahan kira-kira enam batu nautika dari Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, pagi semalam. - Foto ihsan APMM
BOT kargo asing yang ditahan kira-kira enam batu nautika dari Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, pagi semalam. - Foto ihsan APMM

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot kargo asing bersama seorang tekong dan 15 awak-awak, kira-kira enam batu nautika dari Pantai Tok Bali di sini, pagi semalam.

Bot berkenaan dalam perjalanan dari Kemaman ke Vietnam membawa muatan 150 kilogram sotong, ditahan jam 9 pagi kerana tidak mempunyai surat izin belayar dari mana-mana pelabuhan.

Tekong dan 15 awak-awak juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Pengarahnya, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata bot kargo asing LOC PHAT 1 itu ditahan oleh Bot Penggalang 18 menerusi Operasi Perkasa Timur.

Katanya, pemeriksaan mendapati seorang tekong bersama 15 awak-awak warga Vietnam berusia antara 16 hingga 74 tahun itu mempunyai pengenalan diri meragukan.

"Malah, bot berkenaan tidak mempunyai surat izin belayar dari mana-mana pelabuhan, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Imigresen 1959.

"Sehingga kini, semua kru ditahan di APMM Tok Bali untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Berita Harian X