Isnin, 4 April 2016 | 4:27pm

4 warga Columbia ditahan kes pecah rumah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, DCP Datuk Mohd Adnan Abdullah (3 kanan) bersama Pegawai Penyiasat, Azmi Shah Abd Aziz (kiri), DSP Azahar Rudin Tajudin (2 kiri), Pegawai Serbuan, Mohd Helmi Uda (dua dari kanan) dan Pegawai Operasi, Zulkifli Mohd (kanan) menunjukkan hasil barangan yang berjaya dirampas daripada empat lelaki warganegara Amerika Latin bersama dua lelaki warga tempatan selepas dipercayai terbabit melakukan kegiatan pecah rumah sekitar lembah Klang ketika sesi sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, DCP Datuk Mohd Adnan Abdullah (3 kanan) bersama Pegawai Penyiasat, Azmi Shah Abd Aziz (kiri), DSP Azahar Rudin Tajudin (2 kiri), Pegawai Serbuan, Mohd Helmi Uda (dua dari kanan) dan Pegawai Operasi, Zulkifli Mohd (kanan) menunjukkan hasil barangan yang berjaya dirampas daripada empat lelaki warganegara Amerika Latin bersama dua lelaki warga tempatan selepas dipercayai terbabit melakukan kegiatan pecah rumah sekitar lembah Klang ketika sesi sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Empat lelaki warga Columbia ditahan polis pada 1 April lalu, selepas disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di Lembah Klang sejak beberapa bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan dipercayai bersekongkol dengan empat warga asing terbabit.

Katanya, empat lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 56 tahun itu ditahan ketika mereka berada di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Taman Cheras kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu.

Beliau berkata, terdahulu, polis Klang Selatan menerima laporan seorang wanita berusia 31 tahun mengenai rumahnya di Bandar Parklands, dekat sini, dipecah masuk penjenayah.

"Wanita itu memaklumkan kepada polis, ketika beliau pulang ke rumah kira-kira jam 9 malam Jumaat lalu, beliau mendapati pintu gelongsor di tepi rumahnya ada kesan diumpil, manakala keadaan rumahnya berselerak.

"Mangsa membuat laporan mengatakan barang-barangnya dilarikan penjenayah, termasuk 10 utas jam tangan pelbagai jenama, barang kemas dan beberapa botol minuman keras dengan jumlah kerugian dianggarkan RM20,000.

"Kira-kira jam 10 malam hari sama, pasukan khas yang ditubuhkan untuk menangani samun oleh kumpulan Amerika Latin, berjaya menjejaki kumpulan ini yang menaiki sebuah kereta di kondominium itu," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mohd Adnan berkata, hasil pemeriksaan terhadap keempat-empat lelaki terbabit, polis menemui tiga pasport Sepanyol disyaki palsu, telefon bimbit dan sepucuk pistol tiruan pada badan suspek.

Beliau berkata, polis yang membuat pemeriksaan pada ruang penyimpanan kereta berkenaan menemui 104 keping wang tunai asing pelbagai negara, 15 utas jam tangan, sebuah kamera, beg sandang dan peralatan pecah rumah.

Katanya, pemeriksaan dalam rumah didiami suspek pula, polis menemui lapan beg tangan, 12 utas jam tangan, kamera, iPad dan tiga pasport yang mempunyai gambar sama dengan wajah tiga daripada empat suspek berkenaan.

"Hasil siasatan, kami kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 29 tahun pada 2 April serta merampas beberapa dokumen termasuk membabitkan sewaan kereta dinaiki suspek.

"Suspek dipercayai menggunakan pelbagai jenis kereta untuk melakukan kegiatan pecah rumah dan kita sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah dilakukan kumpulan ini.

"Dianggarkan semua harta curi yang dirampas bernilai kira-kira RM200,000 dan polis meminta orang ramai yang mungkin pernah menjadi mangsa pecah rumah untuk tampil berjumpa pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azmi Abd Aziz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi mengenal pasti barangan yang dirampas," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini.

Berita Harian X