X
Sabtu, 2 April 2016 | 3:53pm

Penjenayah silap sasaran bunuh pengawal keselamatan

MOTOSIKAL milik Noor Azee.
MOTOSIKAL milik Noor Azee.

BATU PAHAT: Kes pengawal keselamatan yang diculik sebelum dibunuh dipercayai berkaitan dengan dakwaan bahawa motosikalnya digunakan dalam kes ragut.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata berdasarkan siasatan awal, tiga lelaki yang ditahan semalam mengaku pernah bertemu mangsa bagi mendapatkan penjelasan mengenai nombor pendaftaran motosikal yang sama dengan motosikal yang digunakan seorang peragut.

Bagaimanapun katanya, mangsa menafikan dakwaan tiga lelaki itu dan membuat laporan polis.

"Namun polis masih membuat siasatan termasuk dari segi pemilikan sebenar motosikal berkenaan serta beberapa maklumat berkaitan sebelum mengenal pasti motif sebenar mangsa dibunuh.

"Ketiga-tiga suspek itu ditahan antara tengah hari hingga jam 4 petang semalam di tiga lokasi berasingan iaitu di Jalan Minyak Beku, Bukit Pasir dan Taman Sri Jaya, di sini.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat Noor Azee Abdul Rahman, 33, yang dipercayai diculik di hadapan rumahnya di Taman Pantai, sejak Rabu lalu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangannya diikat di kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Muar-Yong Peng, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang keesokannya.

Jenazah Noor Azee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keluarga di Minyak Beku kira-kira jam 10.30 malam semalam. Kira-kira 300 penduduk kampung termasuk ahli keluarga serta saudara mara menghadiri upacara pengebumian itu.

Berita Harian X