Rabu, 30 March 2016 | 1:24am

8 pemancing, 3 kru bot ditemui selamat

PASIR PUTEH: Lapan pemancing bersama tiga kru bot yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat lalu ditemui selamat.

Bot yang dinaiki mangsa dikesan bot Maritim Penyelamat 7 jam 10.25 malam, kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Kemasin, Bachok, sebelum dibawa pulang ke Tok Bali.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 10 Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah, berkata bot berkenaan ditemui dalam keadaan bersauh kerana mengalami kerosakan enjin, menyebabkan mereka gagal pulang petang kelmarin.

"Kesemua mangsa dalam keadaan selamat. Lapan pemancing dibawa pulang, manakala tiga kru bot masih berada di bot berkenaan sehingga bot mereka ditunda ke Jeti Kemasin.

"Kita akan menghantar mekanik untuk membaiki bot berkenaan secepat mungkin," katanya.

Lapan pemancing bersama tiga kru bot dilaporkan hilang selepas keluar memancing di kawasan pelantar minyak Lawit sejak Jumaat lalu.

Mereka menggunakan bot TFA 1382 kelas A itu mengikuti rombongan memancing empat hari tiga malam dan sepatutnya pulang petang kelmarin, namun gagal dihubungi sejak Sabtu.

Pemancing berkenaan terdiri daripada Zakaria Kadir, 54; Mohd Suhaimi Abdul Kadir, 34; Nik Mohd Shukri Nik Mustafa, 49; Mohd Zaidi E, 30; Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31; Mohd Zaidi Yaacob, 41 dan Suhaimi Mat Jusoh, 33. Manakala tiga kru bot adalah Ramli Yusof, 50-an; Mohd Yakob Taib, 62 dan Mohd Fauzi, 40.

Berita Harian X