Khamis, 17 March 2016 | 9:32pm

Pembakaran terbuka punca belukar Pekan Sungai Nibong terbakar

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di Sungai Nibong petang tadi.
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di Sungai Nibong petang tadi.

SABAK BERNAM: Tindakan penduduk setempat di ban lama Pekan Sungai Nibong, di sini, melakukan pembakaran terbuka dipercayai punca kebakaran belukar yang berlaku petang tadi.

Ketua Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kebakaran berkenaan pada jam 3.50 petang dan pasukannya tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Satu jentera bomba dengan seorang pegawai operasi bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam dan mengawal kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, keadaan angin agak kuat menyebabkan api menjadi marak membakar di kawasan belukar lalang seluas 0.2 hektar itu.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan kebun yang terletak berhampiran tempat kejadian.

"Pasukan kami mengambil masa kira-kira 1 jam bagi mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.

"Berdasarkan maklumat awam, kebakaran dipercayai berpunca daripada tindakan penduduk yang sengaja membakar semak di kawasan itu untuk tujuan pembersihan tanah untuk bercucuk tanam sebelum merebak ke kawasan belukar lalang berkenaan.

"Sehubungan itu, kami menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran sampah tanpa pengawasan dan pembakaran terbuka berikutan faktor cuaca panas ketika ini," katanya.

Difahamkan, selain kawasan berkenaan, tiga lagi kawasan yang terbakar petang tadi adalah di Parit 4, Parit 7 dan Parit 8 Sungai Panjang. 

Berita Harian X