KEPALA BATAS: Seramai 30 individu ditahan dalam Ops Bakau oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di perkampungan nelayan dekat Kuala Muda, Penaga, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi bermula jam 4 pagi itu, seramai 50 anggota penguat kuasa AADK menggempur kawasan perkampungan berkenaan yang dikatakan menjadi sarang penagih dadah.
Operasi berkenaan dijalankan seiring usaha membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan nelayan setempat.
Wartawan BH yang menyertai operasi mendapati, ada penagih sanggup terjun ke sungai dan melompat dari motosikal yang ditunggang untuk mengelak daripada ditangkap.
Bagaimanapun, semuanya dapat ditahan oleh anggota penguat kuasa yang mengepung kawasan berkenaan.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.