Selasa, 23 Februari 2016 | 11:47am

Pemandu lori langgar 22 kenderaan didakwa

G. Mathan, 30 diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal selepas dituduh atas kesalahan melanggar 18 buah kereta dan dua buah motosikal di Taman Berjaya, Nibong Tebal pada Ahad lalu. Tertuduh diberi jamin sebanyak RM8,000. - Foto Amir Irsyad Omar

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, di sini, pagi tadi, atas tuduhan sengaja melanggar 22 kenderaan di sebuah kawasan perumahan.

G Mathan, 30, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Mengikut kertas pertuduhan, Mathan didakwa sengaja melanggar 22 kenderaan di pasar Taman Berjaya, Nibong Tebal, kira-kira jam 8 pagi pada 21 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000, manakala lesen memandu dicatat.

Rashidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X