Ahad, 21 Februari 2016 | 3:21pm

Pemancing hilang di Pulau Payar ditemui selamat

KUALA KEDAH: Semua pemancing yang dilaporkan hilang sejak malam tadi di perairan Pulau Payar, Langkawi ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan kelas B, pada jam 2.30 petang tadi.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), berkata bot dinaiki pemancing berkenaan hanya mengalami kebocoran dan hanyut, bukannya karam seperti dilaporkan sebelum ini.

Berdasarkan laporan awal, katanya, seramai 19 kaki pancing berada dalam bot berkenaan ketika ditemui oleh bot nelayan berkenaan di 18 batu nautika barat dari lokasi kejadian.

"Mulanya kami menerima panggilan kecemasan melalui radio bahawa bot terbabit karam.

"Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, ia hanya hanyut akibat mengalami kebocoran," katanya sebentar tadi.

Jurucakap APMM berkata, bot pancing itu ditunda oleh bot nelayan dan dijangka tiba di Pangkalan Maritim Kuala Kedah dalam tempoh empat jam lagi.

"Semua mangsa dipindahkan ke bot nelayan terbabit, manakala bot yang rosak ditunda ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah," katanya.

Berita Harian X