Rabu, 17 Februari 2016 | 11:16pm

2 sarjan ditahan, minta rasuah tutup kes dadah

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, menahan dua anggota polis berpangkat sarjan kerana dipercayai menerima rasuah RM500 untuk menukar sampel kimia berkaitan kes dadah.

Mereka yang masing-masing berusia 30 tahun dan 28 tahun, ditahan di sebuah medan selera di Temiang, di sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Sumber berkata, anggota polis terbabit menahan seorang pekerja binaan pada November tahun lalu kerana dipercayai memiliki dadah.

Katanya, mereka meminta lelaki terbabit membayar RM2,800 jika mahu menukar keputusan ujian Jabatan Kimia, iaitu daripada positif kepada negatif dadah, sekali gus membantunya melepaskan diri daripada didakwa di mahkamah.

"Lelaki terbabit membayar RM500 malam ini dan baki akan dibayar kemudian," katanya, di sini, malam ini.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua anggota polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

SPRM dijangka membawa mereka ke Mahkamah Majistret, di sini, esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Berita Harian X