Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:34am

Penari remaja antara 6 ditahan positif dadah

PENARI remaja yang ditahan dibawa pegawai penguatkuasa untuk ujian dadah.
PENARI remaja yang ditahan dibawa pegawai penguatkuasa untuk ujian dadah.

MELAKA: Seorang penari perempuan sebuah pusat tarian seni antara enam yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Bukit Baru, di sini, malam tadi.

Sebelum ditahan, remaja berusia 19 tahun itu cuba memberi helah gagal membuang air kecil ketika diminta menjalani pemeriksaan air kencing sebelum hasil ujian akhirnya mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Ops Khas Motosikal itu disertai 129 anggota pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), PUSPAKOM, Jabatan Pendaftaran negeri (JPN) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Zainudin Abdullah, berkata dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu, semua yang ditahan berusia antara 19 tahun hingga 50-an.

"Sepanjang operasi bersepadu ini, seramai 50 individu ditahan menjalani saringan ujian air kencing sebelum enam didapati positif dadah," katanya ketika ditemui dalam operasi itu.

Terdahulu, Zainudin berkata, dalam operasi berasingan pada 2 dan 6 Februari lalu, seramai 111 individu ditahan selepas positif pelbagai jenis dadah daripada 1,037 individu yang menjalani ujian saringan air kencing di seluruh negara.

"AADK turut melaksanakan Ops Terminal di 24 terminal bas di seluruh negara dan lima daripada 2,471 pemandu bas didapati positif dadah jenis syabu, ganja dan morfin.

"Pemandu bas dari Melaka, Perak dan Perlis itu diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan, berkata 751 kenderaan diperiksa pada Ops Khas Motosikal berkenaan dan 168 individu diambil tindakan, manakala 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan lesen kenderaan.

"Antara kesalahan termasuk 36 kes tiada lesen kenderaan memandu (LKM), 26 kes mengikut nombor pendaftaran, lapan kes tamat lesen memandu, tujuh kes tidak pamer P, dua kes membabitkan cermin gelap dan kesalahan lain," katanya.

Berita Harian X