Rabu, 6 Januari 2016 | 11:34pm

27 wanita rugi RM1.2 juta angkara Love Scam

 

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan Love Scam yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu selepas menahan tiga lelaki warga Nigeria dan seorang ibu tunggal dalam serbuan di Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam.

Suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan selepas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuat serbuan di kawasan itu, sekitar jam 4.30 petang.

Polis merampas empat komputer riba, beberapa telefon bimbit, kad bank dan iPad yang digunakan sindiket untuk menipu mangsa.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid, berkata serbuan dilakukan berdasarkan laporan 27 wanita tempatan yang menjadi mangsa akibat terjerat dengan ayat cinta, membabitkan kerugian hampir RM1.2 juta.

"Siasatan awal mendapati percaya wanita tempatan yang juga ibu tunggal, adalah dalang yang menyamar bagi meyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun," katanya ketika dihubungi.

Roslan berkata, polis sedang memburu beberapa lagi sindiket yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu.

Semua suspek ditahan reman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitter miliknya, hari ini, mengesahkan kejayaan itu.

"Syabas JSJK @PDRMsia tangkap tiga lelaki Nigeria dan satu wanita Melayu ahli Kumpulan Love Scam. Selesaikan 27 kes penipuan yang melibatkan kerugian RM1.2. #GoPDRMGo," katanya.

Berita Harian X