Sabtu, 2 Januari 2016 | 3:19pm

Pura-pura tanya lokasi kandang babi sebelum samun

GOPENG: Tiga lelaki melarikan selaras senapang patah bersama peluru dan sebuah pacuan empat roda kepunyaan seorang pemilik ladang sawit selepas memukul serta mengikat mangsa di Keboi, Kuala Dipang dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 49 tahun dikatakan sedang mengemas premisnya di Keboi sebelum didatangi tiga lelaki bertanyakan mengenai kandang babi di kawasan itu dan meminta air untuk minum.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata pada masa sama, seorang daripada suspek mengeluarkan satu barang menyerupai pistol dan mengacukan kepada mangsa.

"Mangsa yang ketakutan cuba lari dan dikejar lelaki berkenaan. Mangsa kemudian ditangkap dan diikat oleh suspek sebelum dipukul di kepalanya dengan menggunakan benda keras disyaki batu.

"Mangsa menjerit meminta tolong sebelum lelaki itu melarikan diri," katanya di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, ketiga-tiga suspek melarikan pacuan empat roda jenis Ford Ranger berwarna merah, selaras senapang patah jenis Midland, kira-kira 15 butir peluru senapang itu, telefon bimbit jenis iPhone 6 dan dompet mangsa mengandungi kad pengenalan, kad kredit serta wang tunai kira-kira RM500.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Dipang tidak lama kemudian sebelum dihantar rakannya ke Hospital Kampar untuk rawatan.

Katanya, polis sedang memburu ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara 40 hingga 50 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta 397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X