Jumaat, 18 Disember 2015 | 8:44am

Wanita terjun kereta selamatkan diri

BUTTERWORTH: Seorang wanita nekad terjun dari kereta yang dipandunya untuk menyelamatkan diri dalam kejadian culik di kawasan kilang dekat Perai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.58 malam itu, Tan Geik Bee, 30, cedera di kaki kiri selepas dia melompat keluar dari kereta yang dipandunya.

Jurucakap polis, berkata ketika kejadian mangsa yang memandu bersendirian, didatangi seorang lelaki tidak dikenali di kawasan letak kenderaan dekat sebuah pasaraya di Seberang Jaya, di sini.

Katanya, lelaki itu kemudian bertindak masuk ke dalam kereta mangsa dan mengacukan pisau sebelum meminta wanita itu memandu ke kawasan perindustrian di Perai di sini.

"Bimbang dirinya diapa-apakan, mangsa menuruti arahan lelaki itu dan setiba di lokasi yang diminta mangsa bertindak terjun dari kereta kerana mahu menyelamatkan diri.

"Mangsa kemudian meminta pertolongan pemandu bas kilang yang melalui kawasan itu selepas kaki kirinya terseliuh dan cedera. Manakala, kereta milik mangsa dibawa lari suspek," katanya.

Selain kereta, suspek turut melarikan wang tunai berjumlah RM500, sebuah telefon bimbit, kad pengenalan dan kad debit milik mangsa.

Berita Harian X