Selasa, 15 Disember 2015 | 6:14pm

Lelaki hilang ditemui di kawasan hutan Temiang

SEREMBAN: Seorang lelaki dari Tanjung Piandang, Perak, yang hilang sejak tiga hari lalu, dijumpai dalam kawasan hutan di Temiang, dekat sini, malam tadi.

Ahmad Bahatin, 68, ditemui oleh seorang penduduk Kampung Temiang, kira-kira jam 7.44 malam, selepas hilang ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Taman Bukit Chedang, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri, Lt Kol Kamal Mokhtar, berkata penduduk berkenaan menghubungi JPAM yang segera menghantar anggota ke situ dan kemudian menghantarnya ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk pemeriksaan.

Katanya, Ahmad tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi hanya lapar dan pening ketika ditemui di hutan itu, yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari tempatnya hilang.

Sementara itu, anak perempuannya, Suraya Ahmad, 33, bersyukur ayahnya ditemui dan kink, berada di rumah ibu saudaranya di Bukit Chedang.

"Mak saudara menelefon saya kira-kira jam 8.30 malam tadi memberitahu ayah sudah dijumpai. Sebaik menerima berita ini, saya cukup lega kerana ayah selamat," katanya yang sudah pulang ke Perak ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Ahmad yang mempunyai masalah lupa dipercayai pergi ke sebuah kedai berhampiran untuk membeli rokok dan tidak ingat arah jalan untuk pulang ke rumah saudaranya. Ahli keluarganya selepas puas mencari di merata tempat kemudian membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, pada hari yang sama.

Berita Harian X