Khamis, 19 November 2015 | 5:09pm
NG KONG SOON menunjukkan gambar suspek ketua kumpulan samun kereta yang dikehendaki polis.
NG KONG SOON menunjukkan gambar suspek ketua kumpulan samun kereta yang dikehendaki polis.

Samun kereta: Polis buru ketua 'Geng Mathe'

NG KONG SOON (tengah) menunjukkan antara peralatan mencuri kenderaan yang dirampas.
NG KONG SOON (tengah) menunjukkan antara peralatan mencuri kenderaan yang dirampas.

KAMPAR: Polis cari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun empat kereta di sebuah bengkel di sini pada 9 November lalu.

S Mathekumar, 33, yang alamat terakhirnya di Taman Bandar Baru, Ipoh, dikehendaki polis kerana dipercayai adalah ketua kumpulan 'Geng Mathe' yang aktif mencuri kereta di kawasan Kampar.

Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai terdiri daripada lima ahli kumpulan dan dua daripadanya diberkas polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata dua suspek yang diberkas adalah lelaki berusia 30 dan 23 tahun, dan hasil soal siasat, ketua kumpulan berkenaan dikenal pasti.

"Tangkapan pertama dilakukan pada hari kejadian di Jalan Tronoh Mines, di sini, iaitu kira-kira dua jam selepas mangsa (pemilik bengkel) membuat laporan, manakala seorang lagi diberkas Selasa lalu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 05-4652222 atau membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan IPD Kampar, hari ini.

Katanya, dalam tangkapan pertama, polis turut merampas sebuah daripada empat kereta yang hilang dan seunit telefon bimbit serta peralatan mencuri kereta seperti pemotong besi, parang, pisau, pengumpil dan tiga bateri kereta.

Berita Harian X