Isnin, 16 November 2015 | 6:36pm

Kontraktor didenda RM100,000 sebabkan kematian 3 pekerja asing

PENGARAH Urusan Jurustra Sdn Bhd, Emiyati Mustafa. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PENGARAH Urusan Jurustra Sdn Bhd, Emiyati Mustafa. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Sebuah syarikat kontraktor binaan hari ini didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan gagal memastikan keselamatan bangunan semasa pembinaan dan menyebabkan kematian tiga pekerja warga asing pada Jun lepas.

Jurustra Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Emiyati Mustafa, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Syarikat itu didakwa gagal memastikan keselamatan bangunan semasa pembinaan dan menyebabkan kematian dua warga Myanmar iaitu Kamol Mamiya, 20, dan Mohamad Ebatula Mohamad Abdullah, 23, serta seorang warga Indonesia iaitu Risman, 24.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu melakukan kesalahan itu di tapak projek pembinaan 'Cadangan Membina Pasaraya (Hypermarket) Di Atas PT20, Bandar Pulau Sebang, Seksyen II dan PT2053, Mukim Pulau Sebang' di sini.

Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 34D(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan) 2011 yang memperuntuk denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat lawatan ke tapak pembinaan itu selepas berlakunya kejadian bumbung lantai berkonkrit runtuh yang menyebabkan kematian pekerja-pekerja binaan itu pada 4.30 petang 22 Jun lepas.

Siasatan lanjut di tapak pembinaan itu mendapati kontraktor utama yang menjalankan kerja-kerja pembinaan untuk projek itu ialah Jurustra Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Pendakwa CIDB, Abdul Razak Husin, memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

"Ini kerana projek itu akan menjadi tempat tumpuan awam, maka keselamatan semasa pembinaan perlu diambil serius oleh kontraktor," katanya.

Menurutnya, kegagalan kontraktor menjaga aspek keselamatan bangunan ketika pembinaan boleh menyebabkan bangunan yang disiapkan tidak selamat.

- BERNAMA

Berita Harian X