Isnin, 9 November 2015 | 9:14am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Sitiawan, awal pagi tadi.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Sitiawan, awal pagi tadi.

Pemandu maut kereta rempuh pokok

SITIAWAN: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok di Taman Nakhoda di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 3.50 pagi, mangsa Abd Fatah Hashim, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 pagi pagi oleh orang ramai yang melihat kejadian itu.

"Sehubungan itu, sepasukan anggota bomba diketuai Ketua Operasi, Ashaari Mat Radzi, bergegas ke tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan berkenaan mendapati ada seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu kereta Toyota Vios yang remuk teruk.

Sehubungan itu, katanya, pasukan bomba dan penyelamat Manjung menggunakan peralatan khas 'rescue tool' untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, pihak paramedik dari Hospital Seri Manjung yang tiba di tempat kejadian bersama sebuah ambulans mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, pasukan bomba dan penyelamat menyerahkan urusan kes berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi berkenaan tamat pada jam 4.50 pagi.

Berita Harian X