Khamis, 15 Oktober 2015 | 6:51pm

APMM tahan 3 tekong, 11 nelayan tangkap ikan secara haram di perairan Selangor

ANGGOTA Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) memeriksa sebuah bot dalam serbuan di Perairan Pantai Muara Sekinchan, Kuala Selangor. - Foto Ihsan APMM
ANGGOTA Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) memeriksa sebuah bot dalam serbuan di Perairan Pantai Muara Sekinchan, Kuala Selangor. - Foto Ihsan APMM

SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Klang menahan tiga tekong dan 11 nelayan kerana menangkap ikan secara tidak sah di perairan Selangor, dekat sini, semalam.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan, berkata dalam kes pertama pada jam 12.21 tengah hari itu, dua bot nelayan kelas C ditahan secara berasingan oleh anggota bertugas dalam Op PATKOR OPTIMA 24B/15.

Katanya, kedua-dua bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan di perairan pantai Muara Sekinchan, dekat sini sebelum ditahan pihaknya.

"Dua tekong dan lapan awak-awak warga Indonesia di dalam kedua-dua bot berkenaan ditahan ketika sedang mengasingkan ikan di atas geladak bot.

"Namun, seorang lagi lelaki juga warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di dalam bilik enjin bot pertama itu. Dia disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mohd Aliyas, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada awak-awak yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan selebihnya mempunyai dokumen perjalanan tamat tempoh malah ada yang meragukan.

Katanya, kesemua lelaki itu ditahan mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Bagi kes kedua beliau berkata, seorang tekong dan tiga awak-awak warga tempatan ditahan pada pukul 9.38 malam kerana menggunakan pukat tunda, kurang empat batu nautika dari Sungai Sembilang, Kuala Selangor dekat sini.

Katanya, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu menangkap ikan menggunakan pukat tunda kurang lima batu nautika dari pantai.

Beliau berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan kerana melakukan kegiatan menangkap ikan secara tidak sah di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, ketiga-tiga bot dalam dua tangkapan itu turut dirampas termasuk 6,500 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dan dibawa ke jeti APMM untuk tindakan lanjut.

Katanya, kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 61 tahun.

- BERNAMA

Berita Harian X