Selasa, 13 Oktober 2015 | 6:27pm

Keputusan batal saman pembentangan hudud 9 November

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Sulaiman
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 9 November untuk keputusan permohonan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat yang lain bagi membatalkan saman empat individu berhubung pembentangan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dalam sidang Parlimen.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Abdul Hadi.

Peguam Kanan Persekutuan, Shahroni Sanusi mewakili empat yang lain iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Siti Kasim mewakili empat individu iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin yang memfailkan saman pemula bagi mencabar pembentangan Rang Undang-undang Persendirian itu bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Mansoor dan lain-lain memfailkan saman pemula berkenaan pada 12 Jun lalu dengan menamakan Abdul Hadi, Pandikar Amin, Ismail dan Dr Ronald Kiandee serta Roosme sebagai defendan pertama hingga kelima.

Takiyuddin ketika ditemui berkata, pihaknya memohon untuk membatalkan saman itu dengan alasan keempat-empat individu berkenaan sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

Beliau berkata, pihaknya berhujah bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mempersoalkan sebarang prosiding dalam Parlimen berdasarkan kepada doktrin pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

"Oleh itu, tindakan saman tersebut bersifat pra matang," kata peguam itu.

Takiyuddin berkata, Shahroni yang mewakili empat individu lain turut mengguna pakai hujahan daripada pihaknya.

Abdul Hadi yang memfailkan permohonan itu pada 2 Julai lalu mendakwa saman pemula yang difailkan keempat-empat pemohon itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti.

Menerusi afidavit sokongannya, Abdul Hadi berkata keempat-empat individu itu tidak mempunyai hak untuk menghalang cadangan, pembentangan dan perbahasan mengenai perkara berkenaan.

Keempat-empat individu itu yang memfailkan saman pemula pada 12 Jun lalu turut memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu adalah satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.

- BERNAMA

Berita Harian X