Selasa, 6 Oktober 2015 | 4:54pm

Penunggang motosikal maut dilanggar treler menggelungsur

TAN Teng Cheong maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah treler yang menggelungsur dari tempat parkir di Jalan Tasek, Simpang Ampat, Nibong Tebal, hari ini. - Foto NSTP
TAN Teng Cheong maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah treler yang menggelungsur dari tempat parkir di Jalan Tasek, Simpang Ampat, Nibong Tebal, hari ini. - Foto NSTP

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah treler yang menggelungsur dari tempat parkir di Jalan Tasek, Simpang Ampat di sini hari ini.

Tan Teng Cheong, 49, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata ketika kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, Tan dalam perjalanan ke tempat kerja di Permatang Tinggi.

"Treler yang diletak di kawasan stesen minyak yang dalam pembinaan itu mengundur dengan sendiri dan melanggar penghadang plastik di kawasan pembinaan itu sebelum menggelungsur ke jalan utama," katanya di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, kemalangan itu menyebabkan lelaki berkenaan tersepit di bawah treler dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

"Siasatan awal polis mendapati treler yang berkunci itu ditinggalkan di kawasan stesen minyak itu sejak tiga minggu lalu.

"Polis sedang mengesan pemilik dan pemandu lori treler itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X