Isnin, 21 September 2015 | 11:39am

Lelaki maut kereta terjunam parit

SITIAWAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas dan terbalik di Kampung Acheh, di sini, jam 1.50 pagi tadi.

Mangsa berusia 21 tahun memandu kereta jenis Proton Saga Aeroback dari arah Pantai Remis menuju ke arah Manjung maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Arbaan Abdul Mokti, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.53 pagi sebelum enam anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar sebuah kereta jenis Proton Savvy di bahagian belakang dari arah sama.

"Akibat pelanggaran itu kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke laluan kiri dan terjunam ke dalam parit sebelum terbalik.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Berita Harian X