Ahad, 9 Ogos 2015 | 6:48pm

Malaysia komited tingkat kerjasama serantau kekang lanun - Johari

TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Johari Baharom. - Foto Effendy Rashid
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Johari Baharom. - Foto Effendy Rashid

SIBU: Malaysia komited meningkatkan kerjasama dengan negara serantau dalam usaha mengekang kegiatan lanun yang semakin membimbangkan, terutama di Selat Melaka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Johari Baharom, berkata jalinan kerjasama itu membabitkan usaha merangka pelbagai inisiatif baharu dalam meningkatkan tahap keselamatan kawasan perairan serantau.

"Selain Malaysia, Singapura dan Indonesia juga komited dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan kawasan perairan serantau, khususnya Selat Melaka yang dikenal pasti antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

"Kerjasama ini akan terus diperkukuhkan, termasuk meningkatkan penyertaan negara serantau lain bagi mewujudkan persekitaran selamat di kawasan perairan di wilayah ini," katanya di sini, petang tadi.

Beliau mengulas kejadian rompakan membabitkan kapal tangki Malaysia, MT Joaqim yang ditemui semula di perairan Pulau Rupat, Indonesia pagi tadi.

Johari sebelum itu mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri 2015, selain Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 150 bekas tentera di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara ini mempunyai kawasan perairan yang luas, namun kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN berjaya memberi jaminan keselamatan kepada kapal dagang dan kapal tangki yang di menggunakan perairan itu.

Sementara itu, beliau menyatakan keyakinan Tabung Rayuan Hari Pahlawan kali ini mampu membuat kutipan dana RM5 juta, seterusnya disalurkan bagi membantu bekas pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara.

Malah, Johari turut mengumumkan cadangan penubuhan 'Rumah Veteran', kemudahan pertama seumpamanya diwujudkan di negara ini, khusus bagi menempatkan bekas pegawai dan anggota keselamatan yang tinggal sebatang kara.

Berita Harian X