Khamis, 21 Mei 2015 | 6:34pm

Polis tahan 8 individu, rampas 29kg dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah serta merampas pelbagai dadah seberat 29 kilogram dalam dua serbuan berasingan di Brickfields dan Sentul, semalam dan Sabtu lepas.

Dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM277,000 dan semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, berkata dalam serbuan semalam polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah teres di Taman Tun Dr Ismail, di sini.

"Polis turut merampas pelbagai dadah termasuk heroin, ketamin, syabu serta serbuk disyaki untuk memproses dadah di dua bilik dan di bahagian dapur rumah berkenaan.

"Susulan tangkapan lima individu itu, pada hari yang sama polis menahan seorang lagi lelaki tempatan di Sentul dan merampas pelbagai dadah termasuk 160 paket syabu dan 70 biji Erimin 5," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam operasi Sabtu lepas pula, Tajuddin berkata dua lelaki tempatan ditahan di Bangsar bersama dadah jenis ganja bernilai RM7,000.

"Polis percaya semua lapan suspek itu mempunyai hubung kait dan hasil siasatan mendapati wanita yang ditahan adalah adik ipar kepada seorang daripada suspek yang ditahan di rumah teres di Taman Tun Dr Ismail, di sini," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, dadah yang diproses sindiket berkenaan adalah bagi pasaran di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Menurut rekod catatan (buku), hasil jualan dadah mencecah RM5 juta bagi tempoh setahun. Suspek juga merekodkan beberapa butir mengenai cara memproses sesuatu jenis dadah dalam sebuah buku nota berasingan" katanya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca bekalan dadah diperoleh.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata polis menahan 27 lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan di Flat Taman Seri Sentosa, Brickfields dalam Ops Sarang yang bermula Jumaat lepas sehingga semalam di kawasan berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X