Sabtu, 9 Mei 2015 | 11:46pm

Sindiket curi kereta mewah tumpas, 7 suspek ditangkap

BENTLEY Continental ditemui di kawasan taman permainan dekat Taman Kota Sarang Semut, Alor Setar.
BENTLEY Continental ditemui di kawasan taman permainan dekat Taman Kota Sarang Semut, Alor Setar.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah, susulan tangkapan tujuh suspek menerusi Ops Lejang di sekitar Selangor, hari ini.

Tangkapan itu susulan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman, terhadap kes pecah bengkel kereta mewah di Jalan Chan Sow Lin, Cheras pada 19 April lalu.

Dalam kejadian itu, lima kereta mewah jenis Porshce Panamera Turbo; Land Rover Evoque; Audi A5SE; Toyota Vellfire dan Bentley Continental, bernilai RM2.8 juta dilarikan sindiket terbabit.

Ketua JSJ Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata hasil siasatan, polis menemui dua daripada lima kenderaan terbabit iaitu Porsche Panamera dan Bentley Continental di kawasan taman permainan dekat Taman Kota Sarang Semut, Alor Setar.

"Susulan penemuan itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita di sebuah restoran di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, jam 6.15 pagi ini.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, kita menyerbu sebuah kondominium di Jalan Pesiaran Tropicana (Petaling Jaya) dan menahan tiga lagi suspek, termasuk seorang wanita pada jam 8 pagi ini," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Zainuddin berkata, polis turut menemui dua lagi kenderaan mewah, dipercayai kenderaan curi iaitu Toyota Marx X dan Vellfire.

"Seorang lagi suspek ditahan jam 5 petang di sebuah pangsapuri di Puchong Utama, Puchong. Semua suspek yang ditahan berusia antara 22 tahun dan 48 tahun," katanya.

Kejayaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman itu mendapat pujian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mendedahkan tangkapan itu menerusi entri terbaharu Twitternya lewat petang tadi.

Berita Harian X