Rabu, 25 March 2015 | 6:10pm

Polis KL berkas 30 suspek curi kenderaan tahun ini

KUALA LUMPUR: Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyelesaikan 182 kes membabitkan samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menerusi dua operasi yang dilaksanakan, seramai 30 suspek warga tempatan berusia 24 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita ditahan di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Dalam operasi pertama dikenali 'Ops Bumper' seramai 26 suspek dari dua kumpulan 'langgar dan samun' kenderaan mewah ditahan polis hingga semalam sekali gus menyelesaikan 79 kes, termasuk 37 kes tahun ini.

Modus operandi dua kumpulan terbabit adalah melakukan jenayah pada waktu tengah malam dan awal pagi. Kenderaan yang dilanggar suspek kebiasaannya dilarikan apabila mangsa keluar untuk melihat keadaan kenderaan yang dilanggar.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata penahan semua suspek berkenaan bermula dengan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Brickfields mengesan dua individu yang dipercayai terbabit kegiatan itu di Bukit Bintang pada awal Februari lalu.

"Penahanan mereka membantu mengesan 24 lagi individu yang turut terbabit selain merampas empat buah kenderaan mewah jenis Isuzu, Toyota dan Honda serta 62 enjin.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit. Ini berikutan suspek menjual dan meleraikan kenderaan yang dicuri itu berdasarkan permintaan daripada pihak lain," katanya ditemui selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-208 peringkat Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Bagi operasi kedua yang dikenali 'Ops Lejang', Hong Soon berkata seramai empat suspek ditahan pada Rabu lalu di Kepong bagi membantu siasatan berhubung 103 kes curi lori dan van.

"Suspek mensasarkan kenderaan jenis van dan lori yang diletakkan di tepi jalan untuk dicuri. Kenderaan yang masih bernilai akan dijual manakala yang gagal dijual akan dileraikan dan komponennya dijual ke bengkel barangan lusuh.

"Terdapat juga kes suspek melarikan kenderaan itu di rumah dan kilang. Suspek menggunakan kunci allen yang diubah suai bagi melarikan kenderaan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta individu Gunasekeram Ramalingam, 50, hadir ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Berita Harian X