Isnin, 23 Februari 2015 | 8:04pm

APMM tahan 2 bot nelayan asing, rampas peralatan RM1 juta

Pengarah Operasi DM9 Kuala Terengganu, Mohamad Zainal menunjukkan hasil tangkapan nelayan asing di perairan Terengganu hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ambak
Pengarah Operasi DM9 Kuala Terengganu, Mohamad Zainal menunjukkan hasil tangkapan nelayan asing di perairan Terengganu hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Seramai 13 nelayan asing termasuk dua tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim kesembilan (DM9) ketika menangkap ikan secara haram di perairan negara semalam.

Pengarah Operasi DM9 Kuala Terengganu, Mohamad Zainal, berkata nelayan itu diberkas ketika sedang leka menangkap ikan kira-kira 104 batu nautika dari tenggara Kuala Terengganu berhampiran pelantar Telaga Dulang dan Pelantar Larut.

Katanya, penahanan itu berlaku secara kebetulan kerana tujuan asal operasi itu diadakan adalah bagi mencari sebuah bot Vietnam yang dilaporkan karam kira-kira 100 batu nautika dari arah timur Kuala Terengganu yang bermula sejak Jumaat lalu.

"Sepanjang operasi pencarian itu, KM Amanah (kapal laut milik APMM) tidak menemui langsung bot yang dilaporkan karam itu termasuk mangsa yang terlibat sebelum operasi itu disambung semula pada hari seterusnya.

"Namun ketika operasi sedang dijalankan semalam, dua bot pukat jerut milik warga asing berjaya dikesan lebih kurang tujuh batu nautika dari kawasan pencarian sebelum penahanan dibuat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad, berkata, pihak APMM merampas dua bot nelayan asing itu bersama-sama peralatan serta hasil laut bernilai lebih RM1 juta.

Katanya, kedua-dua bot itu cuba melarikan diri namun gagal selepas dikepung oleh pihak berkuasa dan hasil pemeriksaan ke atas tekong dan awak-awak mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot berkenaan juga menemui hasil tangkapan termasuk sotong basah dan kering sebanyak dua tan dengan nilai yang dianggarkan melebihi RM6,000," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan semua mereka telah lama beroperasi dan hasil tangkapan ini mungkin baru diperoleh atau telah dihantar ke bot induk yang menunggu di perairan antarabangsa.

Mohamad berkata, semua nelayan yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun itu ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan sebelum dakwaan dilakukan.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1952 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa permit yang sah daripada Jabatan Perikanan.

- BERNAMA

Berita Harian X