Ahad, 8 Februari 2015 | 6:06pm
SEBUAH rumah kelas A tingkat bawah di Pangsapuri Emas, Jalan Raja Uda, Butterworth hangus terbakar. Rumah tersebut dijadikan setor simpanan mercun dan bunga api sempena menyambut Tahun Baru Cina yang akan datang. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBUAH rumah kelas A tingkat bawah di Pangsapuri Emas, Jalan Raja Uda, Butterworth hangus terbakar. Rumah tersebut dijadikan setor simpanan mercun dan bunga api sempena menyambut Tahun Baru Cina yang akan datang. - Foto Amir Irsyad Omar

Kedai runcit simpan bunga api, mercun terbakar

BUTTERWORTH: Sebuah kedai runcit di Pangsapuri Emas di sini yang menyimpan pelbagai jenis bunga api dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina, musnah terbakar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim, berkata kebakaran pada 11.31 malam itu turut menyebabkan tiga motosikal di hadapan kedai itu terbakar.

Katanya, kedai runcit itu yang terletak di tingkat bawah bangunan lima tingkat itu, dimiliki seorang ahli perniagaan berusia 51 tahun.

"Berdasarkan siasatan, pihak bomba mendapati ada sebuah bilik di kedai runcit itu yang menempatkan pelbagai jenis bunga api dan mercun.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba," katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, bomba menyatakan tiga rumah yang berada di tingkat atas kedai runcit berkenaan turut mengalami keretakan dan kerosakan kecil akibat kebakaran itu.

"Polis akan memanggil pemilik kedai runcit berkenaan untuk membantu siasatan berhubung penemuan bunga api dan mercun di premis itu," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata sebuah rumah di Jalan Permatang Binjal di sini musnah terbakar dalam kejadian 1.52 tengah hari ini.

Ketika kejadian, pemilik rumah itu hanya sempat menyelamatkan dirinya sebaik menyedari api merebak dari bahagian dapur rumah kayu dua tingkat itu.

- BERNAMA

Berita Harian X