Rabu, 28 Januari 2015 | 7:52pm

Polis berkas tiga suspek, selesai 12 kes curi kenderaan mewah

PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah JSJ, SAC Datuk Abd Manaf Abd Razak menunjukkan gambar dua suspek kes curi kenderaan pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini. - Foto Rosdan Wahid
PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah JSJ, SAC Datuk Abd Manaf Abd Razak menunjukkan gambar dua suspek kes curi kenderaan pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Polis menyelesaikan 12 kes curi kenderaan mewah bernilai RM1.6 juta di sekitar Lembah Klang dengan penahanan tiga lelaki dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang sejak Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua suspek itu berperanan sebagai 'jockey' yang mengambil dan menghantar kenderaan seperti diarahkan dan memasukkan kenderaan curi ke dalam kontena.

Beliau berkata suspek yang berumur antara 31 dan 48 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 10 pagi pada 8 Disember lepas di sebuah gudang di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, yang dijadikan tempat pengumpulan kenderaan curi.

"Dalam serbuan ke atas gudang itu, polis merampas tiga kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. Beliau berkata tangkapan tiga suspek itu membawa polis ke sebuah kontena di Pelabuhan Utara di mana polis merampas dua buah lagi Toyota Hilux dan sebuah Toyota Fortuner yang dilaporkan dicuri.

Hasil pendedahan suspek, polis ke Pelabuhan Barat pula pada 21 Jan lepas dan merampas enam lagi kenderaan pacuan empat roda iaitu empat Toyota Hilux dan dua Toyota Fortuner dari dua kontena sebelum proses imbasan dilakukan ke atas kontena itu.

Beliau berkata kesemua kenderaan itu didapati belum setahun didaftar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan cuba diseludup keluar dari Malaysia melalui jalan laut ke sebuah pelabuhan di Dubai. Polis turut mengedar fotofit dua suspek dipercayai anggota sindiket curi kenderaan mewah itu yang dikenali sebagai 'Robin Hai'.

Mohmad berkata lelaki yang dicari polis ialah Lee Tuck Sang, 38 dan Lim Poay Weng, 43, masing-masing beralamat di Taman Bukit Mutiara Kajang, Selangor dan Desa Aulong Utama, Taiping, Perak.

Beliau berkata kedua-dua suspek itu dapat membantu pihak berkuasa membanteras jenayah penyeludupan kereta curi berkenaan. -BERNAMA

Berita Harian X