Selasa, 27 Januari 2015 | 2:20pm

Pasangan suami isteri dituduh membunuh

Tertuduh V Rajendran, 35 didakwa atas kesalahan membunuh dua lelaki warga India pada Januari lepas di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini. - Foto Abnor Hamizam
Tertuduh V Rajendran, 35 didakwa atas kesalahan membunuh dua lelaki warga India pada Januari lepas di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini. - Foto Abnor Hamizam

JEMPOL: Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini atas dua pertuduhan membunuh dua lelaki warga India pada 3 Januari lepas.

V Rajendran, 36, dan V Vijaya, 49, dari Taman Desa Puteri, Bahau yang memakai baju lokap oren hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Zuhair Rosli.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Pasangan suami isteri itu bersama-sama beberapa orang yang masih bebas didakwa membunuh Venkateshan Ramasami (No passport H7291583) dan Arumugam Kesavan (No passport J3852864) pada 3 Januarui lepas di antara jam 5 petang dan 9 malam di KM10, Jalan Rompin-Bahau di sini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

- BERNAMA

Berita Harian X