Khamis, 15 Januari 2015 | 7:09am

Seludup 60 kereta mewah guna kad kuasa palsu

Abd Latif (kanan) bersama anggotanya menunjukkan jenis kenderaan yang gagal diseludup ke negara jiran ketika sidang media mengenai aktiviti penyeludupan kenderaan mewah ke Thailand di
Abd Latif (kanan) bersama anggotanya menunjukkan jenis kenderaan yang gagal diseludup ke negara jiran ketika sidang media mengenai aktiviti penyeludupan kenderaan mewah ke Thailand di

Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki yang menggunakan kad kuasa palsu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyeludup sekurang-kurangnya 60 kereta mewah ke Thailand menerusi pintu sempadan, di sini, sejak setahun lalu.

Antara kereta mewah yang diseludup dengan dipandu sendiri adalah Mercedes Benz, BMW, Audi, Toyota dan Honda yang kebanyakannya dicuri di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke Changlun, dekat sini, sebelum diseludup ke Thailand.

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah bagi lelaki berusia 30 tahun itu apabila dia ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) jam 8.15 malam kelmarin ketika memandu kereta Mercedes Benz CLA200 bernilai kira-kira RM500,000 di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan, dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Berjaya melepasi KIK

Komander UPP Kedah, Abd Latif Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu itu untuk melepasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) seterusnya ke Thailand sebelum ini.

"Berdasarkan siasatan awal, kereta mewah itu dilaporkan hilang pada 8 Januari lalu di Puchong, Selangor. Suspek dipercayai mengambil kereta itu daripada rakannya yang dikenali dengan nama Jack, berusia lingkungan 30-an di depan sebuah bank di Changlun, jam 7.30 malam semalam (kelmarin).

"Ketika tiba di sekatan jalan raya, suspek menunjukkan kad kuasa AADK, tapi anggota kami mendapati ia mencurigakan lalu memeriksa kenderaan berkenaan sebelum mendapati nombor casisnya sama dengan kereta yang dilaporkan hilang di Selangor, manakala nombor pendaftaran pula disyaki palsu," katanya.

Ada hubungan sindiket

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Abd Latif berkata, pihaknya menahan suspek dan menyerahkan kes terbabit kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek yang beralamat di Georgetown, Pulau Pinang dan masih bujang, dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket curi kereta mewah, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang serta menerima upah RM300 untuk membawa masuk kenderaan curi dari Changlun ke negara jiran.

"Dia dipercayai sudah menyeludup antara 50 hingga 60 kenderaan mewah ke negara jiran sejak tahun lalu dengan menggunakan taktik sama.

"Suspek direman 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X