Selasa, 9 Disember 2014 | 5:06pm

APMM Labuan tingkat pemeriksaan penumpang bot laju

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan mengadakan 353 pemeriksaan bagi tahun ini ke atas penumpang bot laju yang dalam perjalanan pergi dan balik dari Labuan, berbanding 191 sepanjang tahun lepas.

Peningkatan lebih 100 peratus operasi pemeriksaan itu sebahagian besarnya hasil daripada penambahan aset dan anggota penguatkuasa.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Labuan, Kapt Maritim Che Adnan Md Isa, berkata penguatkuasaan yang ketat akan diteruskan ke atas pengangkutan laut bagi memastikan pematuhan sepenuhnya kepada Ordinan Perkapalan Saudagar dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga (Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah).

"Bot yang diperiksa sebahagian besarnya membawa penumpang bagi destinasi dari Labuan dan ke tanah besar Menumbok, Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Adnan berkata, pemeriksaan dan rondaan rutin akan dipertingkatkan meskipun dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

"Pengusaha bot perlu mematuhi keperluan dan peraturan keselamatan, dan sungguhpun perjalanan itu hanya mengambil masa kurang dari sejam, mereka mesti memastikan setiap penumpang di dalam bot memakai jaket keselamatan," katanya.

Pegawai Operasi APMM Labuan, Lt (Maritim) Nik Mohd Izwan Farid Md Daud, berkata pasukannya kini memberi tumpuan kepada aktiviti penyeludupan dan pencerobohan haram yang dijangka dilakukan di perairan larangan dalam lingkungan taman laut dan kawasan pelantar minyak serta gas.

"Aktiviti mengebom ikan semakin berkurangan selepas operasi dipertingkatkan terutamanya dalam lingkungan perairan di Pulau Kuraman, namun kami percaya aktiviti menangkap ikan secara haram menggunakan senjata buatan sendiri masih berleluasa di taman laut yang dilindungi ini," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X