Isnin, 8 Disember 2014 | 8:43pm

APMM tahan 32 PATI warga Indonesia di perairan Perak

KETUA Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan (kanan) bertanyakan sesuatu kepada PATI yang ditahan. - Foto Norsharuddin Sapian
KETUA Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan (kanan) bertanyakan sesuatu kepada PATI yang ditahan. - Foto Norsharuddin Sapian

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lumut menahan 32 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk empat wanita di perairan Perak semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata kesemua mereka termasuk seorang tekong dan empat awak-awak ditahan pada pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata Kapal Maritim Nyalau yang diketuai Lt Dya Maritim Mohammad Khairul Mohd Asli bersama sembilan anggota ditugaskan untuk melakukan rondaan di sekitar perairan Perak telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 43 batu nautika dari barat daya Pulau Pangkor.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan tersebut mendapati 28 lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sekinchan, Selangor menuju ke perairan Indonesia.

"PATI tersebut dibawa keluar menggunakan bot nelayan tempatan dari Sekinchan sebelum dipindahkan ke bot nelayan yang menunggu mereka di sempadan perairan Malaysia-Indonesia," katanya.

Katanya sindiket berkenaan mendapat bayaran RM700 sebagai upah untuk membawa keluar setiap PATI dari perairan negara ini.

Abdul Razak berkata pihaknya turut menemui wang tunai sejumlah RM26,000 dalam bentuk mata wang Ringgit Malaysia dan Rupiah Indonesia bersama tekong bot berkenaan.

Beliau berkata tekong dan awak-awak terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya.

Manakala kesemua PATI pula disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

Katanya kes yang melibatkan tangkapan PATI itu merupakan yang ketiga sejak Januari tahun ini di perairan negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X