Jumaat, 3 Oktober 2014 | 5:26am

Dua beradik 'Geng Topeng' ditahan

Ali menunjukkan barang rampasan selepas menumpaskan Geng Topeng pada sidang media di Gombak, semalam.
Ali menunjukkan barang rampasan selepas menumpaskan Geng Topeng pada sidang media di Gombak, semalam.

Gombak: Kegiatan jenayah dua beradik yang disyaki mendalangi beberapa siri samun dan melarikan kenderaan di daerah ini, berakhir apabila diberkas polis bersama beberapa kereta dipercayai hasil jenayah mereka.

Kumpulan suspek yang dikenali sebagai 'Geng Topeng' menyasarkan mangsa yang menggunakan kereta mewah sebelum menyamun dan membawa lari kenderaan berkenaan yang kemudian dipercayai dijual kepada pembeli di utara Semenanjung.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata suspek yang berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari, 18 September lalu dalam sebuah kereta PROTON Wira di Rawang dan masih ditahan reman untuk membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan, katanya, polis menemui tiga kereta jenis Honda Civic, Toyota Vios dan Isuzu D Max, keseluruhannya dianggar bernilai hampir RM200,000 yang masing-masing dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Sentul dan Klang, dipercayai dicuri dua beradik berkenaan.

Selesaikan 20 kes samun

"Mereka dipercayai aktif melakukan jenayah samun di sekitar Gombak sejak awal tahun ini dengan bersenjatakan parang. Kita percaya mampu menyelesaikan 20 kes samun dan curi kereta di sekitar daerah ini dengan penangkapan dua suspek terbabit," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ali berkata, pihaknya turut merampas beberapa bilah parang, lapan topeng muka dan palam pencucuh yang sudah diubah suai daripada dua beradik itu yang turut mempunyai 12 rekod  jenayah berkaitan kes samun dan curi kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 41 kes samun selepas menahan empat remaja berusia 16 hingga 21 tahun baru-baru ini, dipercayai anggota kumpulan 'Ayed'  yang aktif melakukan samun jalanan di sekitar Gombak.

"Mereka ditahan ketika sedang menunggang motosikal curi. Hasil soal siasat dan pemeriksaan, polis merampas sembilan telefon bimbit serta 12 rangka motosikal dan beberapa peralatan menyamun daripada kumpulan berkenaan," katanya.

Berita Harian X