Sabtu, 18 March 2023 | 9:20pm
Haikal (kiri) dan Izzudin mara ke final Masters China.
Haikal (kiri) dan Izzudin mara ke final Masters China.

Izzudin-Haikal mara ke final Masters China

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Muhammad Haikal Nazri mula mencetuskan impak sebagai gandingan apabila melangkah ke final Masters China, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan itu menyingkirkan beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsanga 21-15, 20-22, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Sukan Ruichang.

Izzuddin-Haikal akan berdepan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan gelaran juara, esok.

Bo Yang-Liu Yi mara selepas menundukkan satu lagi beregu negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe, 21-12, 21-14 di separuh akhir.

"Kami gembira berjaya mara ke final buat kali pertama tahun ini. Sebagai gandingan, kami akan cuba untuk merekodkan kejuaraan kedua selepas memenangi Cabaran Antarabangsa Malaysia Disember tahun lalu.

"Saya menjangkakan perlawanan yang sukar, esok tetapi kami akan bersedia sepenuhnya," kata Haikal.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh untuk mara ke final tidak kesampaian selepas tewas kepada Sun Fei Xiang dari China, 21-12, 21-17.

Berita Harian X