KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi bersedia sekiranya dipertaruhkan sebagai 'gandingan pecahan' bersama Aaron Chia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.
Gandingan pecahan' Ee Yi-Aaron sudah terbukti mampu menjadi 'senjata rahsia' skuad negara terutama ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, tahun lalu.
Ketika itu, Ee Yi-Aaron menyumbang mata kemenangan pasukan negara dengan menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Yuta Watanabe sekali gus membolehkan Malaysia muncul juara kumpulan.
Mereka turut menyumbang mata ketika skuad negara tewas di tangan India 2-3 pada aksi suku akhir.
"Saya tiada masalah (bergandingan dengan Aaron), semuanya bergantung kepada jurulatih. Jika jurulatih memutuskan untuk kami bergandingan bagi berdepan lawan dari mana-mana negara, saya bersedia dan akan mengikut keputusan jurulatih," kata Ee Yi.
Ee Yi bersama pasangan tetapnya, Ong Yew Sin selain juara dunia, Aaron-Soh Wooi Yik disenaraikan untuk membarisi skuad negara bagi menggalas cabaran dalam acara beregu lelaki pada kempen di Dubai kali ini.
Malaysia yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE.
Pada kempen kali ini, skuad negara diletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi mengesahkan slot automatik ke saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China yang dijadual berlangsung bermula 14 hingga 21 Mei depan.
Sementara itu, Yew Sin, berkata dia dan Ee Yii sudah bersedia 'mengerah kudrat' bagi membantu skuad negara melakar pencapaian terbaik di Dubai.
Katanya, untuk peringkat awal, mereka akan cuba untuk membantu pasukan menjuarai saingan kumpulan dengan pertembungan menentang India dijangka menjadi penentuan.
"Saya fikir memang India adalah pasukan yang kuat dan bukan mudah untuk tewaskan mereka tetapi kami akan cuba untuk memenangi perlawanan bagi menjadi juara kumpulan. Ini penting untuk mendapat undian yang lebih baik di peringkat suku akhir," kata Yew Sin.